Sunday, December 27, 2015

TUJUAN PENDIDIKAN MATEMATIK DI MALAYSIA

Pendidikan Matematik di peringkat prasekolah membekalkan pengetahuan dan pengalaman awal Matematik kepada murid. Pengalaman ini termasuk konsep pranombor, nombor, operasi nombor yang mudah, nilai wang konsep waktu, bentuk dan ruang. Konsep matematik ini dipelajari pada masa yang khas dan juga disepadukan ke dalam semua aktiviti pembelajaran bertema menggunakan kaedah yang menyeronokkan. KPSK Matematik mahu murid dapat menggunakan kemahiran matematik asas dalam menjalankan tugasan harian dan menyelesaikan masalah.

Di peringkat sekolah rendah, KBSR Matematik bertujuan untuk membina pemahaman murid terhadap konsep nombor dan kemahiran asas dalam operasi dan diaplikasikan dalam kehidupan harian mereka dengan berkesan dan penuh tanggungjawab selaras dengan aspirasi menjadi sebuah masyarakat dan negara maju, dan pada masa sama kemahiran ini membolehkan murid melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Kemudian,  KSSR Matematik  diperkenalkan untuk membina pemahaman murid tentang konsep nombor, kemahiran asas dalam pengiraan, memahami idea Matematik yang mudah dan berketrampilan mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran matematik secara berkesan dan bertanggung jawab dalam kehidupan seharian.

Diperingkat lebih tinggi, kurikulum Matematik sekolah menengah bertujuan untuk membentuk individu yang berpemikiran Matematik dan berketerampilan mengaplikasikan pengetahuan Matematik dengan berkesan dan bertanggung jawab dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan, supaya berupaya menangani cabaran dalam kehidupan harian bersesuaian dengan perkembangan sains dan teknologi.

Pendidikan Matematik di peringkat sekolah rendah menekankan kepada membina pemahaman terhadap konsep-konsep dan kemahiran asas dalam pengiraan untuk diterjemahkan dalam penerokaan Matematik dalam alam sekeliling mereka seterusnya mengintegrasikan kemahiran Matematik untuk membina idea baru atau menyelesaikan masalah. Pendidikan Matematik di peringkat sekolah menengah mahu melahirkan murid yang mengasimilasikan pengetahuan, pemahaman dan kemahiran Matematik dalam pemikiran dan rutin harian mereka.

Di semua peringkat pendidikan, pemahaman Matematik yang dibentuk bukan semata-mata untuk digunakan di dalam kelas sahaja sebagai menyelesaikan latih tubi yang diberi oleh guru, malah diaplikasikan dalam pelbagai situasi harian. Tugasan kreatif di dalam mahu pun luar bilik darjah yang mengaitkan suatu hasil pembelajaran dengan penggunaan hasil pembelajaran tersebut dalam rutin harian mampu memberikan pengalaman menyeronokkan ke arah menerapkan penghayatan terhadap suatu konsep yang diketengahkan. Penghayatan yang seiring dengan penguasaan pengetahuan dan kemahiran akan membentuk individu yang mampu membuat keputusan dan menangani cabaran hidup seharian selaras dengan hasrat negara untuk melahirkan masyarakat yang berketrampilan.

Matematik ini merupakan  tenaga penggerak kepada pelbagai perkembangan dalam bidang sains dan teknologi. Penguasaan Matematik itu adalah penting dalam menyediakan tenaga kerja untuk menjadikan negara sebagai sebuah negara maju. Sekolah merupakan pentas yang mencorak, melatih dan memperkembangkan potensi generasi muda melalui kurikulum yang dibentuk. Pelaksanaan kurikulum mengikut garis panduannya akan mencapai kepada tujuan dan matlamat kurikulum itu.

3.1       OBJEKTIF KBSR, KSSR, KBSM

3.1.1 OBJEKTIF KBSR

Kurikulum Matematik sekolah rendah membolehkan murid-murid untuk:
  • Mengetahui dan memahami konsep, prosedur dan prinsip berkaitan: Nombor, Operasi, Bentuk, Ukuran, perwakilan data;
  • Menguasai operasi asas matematik: Penambahan, Penolakan, Pendaraban, Pembahagian;
  •  Menguasai kemahiran operasi bergabung;
  •  Menguasai kemahiran asas matematik iaitu: membuat anggaran dan penghampiran, pengukuran, pengumpulan data, mewakili maklumat dalam bentuk graf dan carta;
  •  Berkebolehan mengunakan kemahiran dan pengetahuan matematik untuk menyelesaikan masalah dalam kehidupan harian dengan berkesan dan penuh tanggungjawab;
  • Berkebolehan menggunakan bahasa matematik yang betul;
  •  Berkebolehan menggunakan teknologi yang sesuai dalam membina konsep, kemahiran dan penyelesaian masalah matematik;
  •  Berkebolehan membina pengetahuan secara sistematik, heuristik, dengan tepat dan berhati-hati;
  • Menyertai aktiviti yang berkaitan dengan matematik;
  •  Menghargai kepentingan dan keindahan matematik.

3.1.2 OBJEKTIF KSSR

Kurikulum Standard Sekolah Rendah bagi mata pelajaran Matematik membolehkan murid:
  • Memahami dan mengaplikasi konsep dan kemahiran matematik dalam pelbagai konteks. 
  • Memperluaskan penggunaan kemahiran operasi asas tambah, tolak, darab dan bahagi yang berkaitan dengan Nombor danOperasi, Sukatan dan Geometri, Perkaitan dan Statistik.
  • Mengenal pasti dan menggunakan perkaitan dalam idea matematik, di antara bidang matematik dengan bidang lain dandengan kehidupan harian.
  • Berkomunikasi menggunakan idea matematik dengan jelas serta penggunaan simbol dan istilah yang betul.
  • Menggunakan pengetahuan dan kemahiran matematik untuk diaplikasi dan membuat penyesuaian kepada pelbagai strategibagi menyelesaikan masalah.
  • Berfikir, menaakul dan membuat penerokaan secara matematik dalam kehidupan seharian.
  •  Menggunakan pelbagai perwakilan untuk menyampaikan idea matematik dan perkaitannya.
  • Menghargai dan menghayati keindahan matematik.
  • Menggunakan pelbagai peralatan matematik secara efektif termasuk TMK untuk membina kefahaman konsep danmengaplikasi ilmu matematik.

3.1.3 OBJEKTIF KBSM

Kurikulum Matematik sekolah menengah membolehkan murid:

  • Memahami definisi, konsep, hukum, prinsip, dan teorem yang berkaitan dengan Nombor, Bentuk dan Perkaitan;
  • Memperluaskan penggunaan kemahiran operasi asas tambah, tolak, darab dan bahagi yang berkaitan dengan Nombor, Bentuk dan Perkaitan;
  •   Menguasai kemahiran asas matematik iaitu: membuat anggaran dan penghampiran;  mengukur dan membina; memungut dan mengendali data; mewakilkan dan mentafsir data;  mengenal perkaitan dan mewakilkannya secara matematik; menggunakan algoritma dan perkaitan; menyelesaikan masalah; dan membuat keputusan.
  • Berkomunikasi secara matematik;
  • Mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran matematik dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan;
  • Menghubungkaitkan ilmu matematik dengan bidang ilmu yang lain;
  • Menggunakan teknologi yang bersesuaian untuk membina konsep, menguasai kemahiran, menyelesaikan masalah dan meneroka ilmu matematik;
  • Membudayakan penggunaan pengetahuan dan kemahiran matematik secara berkesan dan bertanggungjawab.
  • Bersikap positif terhadap matematik; dan
  • Menghargai kepentingan dan keindahan matematik.

No comments:

Post a Comment