Struktur
pendidikan matematik di Malaysia mempunyai beberapa peringkat bagi melahirkan
insan yang memenuhi kriteria murid yang mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih
tinggi. Proses pembelajaran bermula dari peringkat awal kanak-kanak atau
dikenali sebagai pra sekolah bagi murid berumur 6 tahun. Seterusnya, setiap
murid di Malaysia berpeluang melalui sekurang-kurangnya enam tahun pendidikan
asas bermula di sekolah rendah. Ini merangkumi tiga tahun pendidikan di Tahap I
iaitu darjah 1 sehingga darjah 3 dan tiga tahun pendidikan di Tahap II iaitu
darjah 4 sehingga darjah 6. Setelah itu, murid boleh mengikuti pendidikan di
peringkat pengajian yang lebih tinggi iaitu di peringkat menengah yang
merangkumi sekurang-kurangnya 5 tahun pembelajaran iaitu dari tingkatan 1
sehingga tingkatan 5. Seterusnya, murid berpeluang melanjutkan pengajian di
peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi dan Universiti.
Kurikulum
Matematik Sekolah Rendah Tahap I bertujuan membina kefahaman terhadap
bidang matematik, kemahiran matematik dan aplikasi asas dalam kehidupan
seharian. Manakala Kurikulum Matematik
Sekolah Rendah Tahap II pula bertujuan untuk membina kefahaman terhadap
bidang matematik, kemahiran matematik dan aplikasi yang lebih kompleks dalam
kalangan murid supaya dapat digunakan dalam menangani cabaran dalam kehidupan
seharian secara berkesan dan sistematik.
Kerangka
kurikulum matematik menunjukkan program matematik yang diguna pakai di
peringkat sekolah rendah pada masa kini. Proses pembelajaran matematik
dirancang bermatlamatkan pembentukan murid yang berfikrah matematik. Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) fikrah membawa pengertian yang sama dengan
daya berfikir dan pemikiran. Manakala dalam konteks pendidikan matematik,
fikrah matematik merujuk kepada kualiti murid yang dihasratkan untuk dilahirkan
melalui sistem pendidikan matematik kebangsaan. Murid yang berfikrah matematik
ini merupakan murid yang berkeupayaan melakukan matematik dan memahami idea
matematik, serta mengaplikasikan secara bertanggungjawab pengetahuan dan
kemahiran matematik dalam kehidupan harian berlandaskan sikap dan nilai
matematik.
Kandungan
kurikulum standard matematik sekolah rendah dirangkumkan mengikut empat bidang
pembelajaran iaitu nombor dan operasi, sukatan dan geometri, perkaitan dan
algebra serta statistik dan kebarangkalian. Tajuk yang terkandung di bawah
nombor dan operasi merangkumi nombor bulat, penambahan, penolakan, pendaraban,
pembahagian, operasi bergabung, pecahan, perpuluhan, peratus dan wang. Di bawah
bidang sukatan dan geometri pula terdapat tajuk masa dan waktu, ukuran panjang,
jisim, isipadu cecair dan ruang. Perkaitan dan algebra pula mengandungi tajuk
koordinat serta nisbah dan kadaran. Bidang pembelajaran yang terakhir adalah
statistik dan kebarangkalian yang merangkumi tajuk perwakilan data dan purata.
Kemahiran
dalam matematik yang harus dikembangkan dan dipupuk dalam kalangan murid
meliputi numerasi, mengukur dan membina, mengendali dan mentafsir data, manipulasi
aritmetik, manipulasi algebra, mengguna algoritma dan menggunakan alat
matematik serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Murid perlu menguasai
pelbagai kemahiran termasuk kemahiran matematik, kemahiran menganalisis,
kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran membuat penyelidikan, kemahiran
komunikasi serta kemahiran menggunakan teknologi.
Bermula
pada tahun 2011, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah memberi
penekanan kepada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Kemahiran berfikir aras
tinggi ialah keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai
dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat
keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu. KBAT adalah merujuk kepada
kemahiran mengaplikasi iaitu menggunakan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam
situasi berlainan untuk melaksanakan sesuatu perkara. Menganalisis pula
mencerakinkan maklumat kepada bahagian kecil untuk memahami dengan lebih
mendalam serta hubung kait antara bahagian berkenaan. Kemahiran menilai ialah
membuat pertimbangan dan keputusan menggunakan pengetahuan, pengalaman, kemahiran
dan nilai serta memberi justifikasi manakala kemahiran mencipta adalah dengan
menghasilkan idea atau produk atau kaedah yang kreatif dan inovatif.
Proses pembelajaran matematik di
sekolah menengah pula bermula dari tingkatan 1 sehingga tingkatan 5. Kandungan
kurikulum Matematik sekolah menengah diatur mengikut tiga bidang utama, iaitu
nombor, bentuk dan ruang, dan perkaitan bermula dari tingkatan satu sehingga
tingkatan lima. Bagi kandungan kurikulum matematik tambahan pula diatur
mengikut lima bidang teras yang utama iaitu algebra, kalkulus, geometri,
statistik dan trigonometri. Manakala bidang elektif pula terbahagi kepada dua
iaitu sains sosial dan sains dan teknologi. Murid tingkatan empat dan tingkatan
lima boleh memilih salah satu daripada bidang elektif manakala bidang teras
adalah wajib dipelajari. Konsep matematik berkaitan bidang masing-masing selanjutnya
diatur mengikut topik dan topik-topik ini diatur mengikut hierarki supaya
konsep yang lebih asas dan ketara diperkenalkan dahulu diikuti dengan konsep
yang lebih kompleks dan abstrak.
Tajuk-tajuk yang terkandung dalam
Kurikulum Matematik tingkatan satu mengikut komponen adalah nombor (nombor
bulat, pola dan urutan nombor, pecahan, perpuluhan, peratus dan integer),
bentuk dan ruang (ukuran asas, sudut dan garis, polygon, perimeter dan luas,
pepejal geometri) dan perkaitan (ungkapan algebra). Manakala bagi tingkatan dua
pula merangkumi komponen nombor (nombor berarah, kuasa dua, punca kuasa dua,
kuasa tiga dan punca kuasa tiga), bentuk dan ruang (teorem Pythagoras,
pembinaan geometri, lokus dalam dua dimensi, bulatan, penjelmaan, pepejal
geometri II) dan perkaitan (ungkapan algebra II, persamaan liner, nisbah, kadar
dan kadaran, koordinat dan statistik). Seterusnya murid akan mempelajari tajuk
yang lebih kompleks semasa berada di tingkatan tiga. Di bawah komponen bentuk
dan ruang (sudut dan garis, poligon II, pepejal geometri, bulatan II, lukisan
berskala, penjelmaan II, trigonometri) dan perkaitan (ungkapan algebra III,
rumus algebra, persamaan linear II, indeks, nisbah, kadar dan kadaran II,
statistik II dan graf fungsi).
Tajuk-tajuk yang terkandung dalam
Kurikulum Matematik Tambahan mengikut bidang pakej teras bagi tingkatan empat
adalah algebra (fungsi, persamaan kuadratik, fungsi kuadratik, persamaan
serentak, indeks dan logaritma), geometri (geometri koordinat), statistik
(statistik), trigonometri (sukatan membulat) dan kalkulus (pembezaan). Manakala
tajuk bagi pakej elektif untuk murid sains dan teknologi adalah penyelesaian segi
tiga dan nombor index bagi sains sosial. Murid tingkatan lima pula mempelajari
bidang teras yang merangkumi algebra (janjang dan hukum linear), kalkulus
(pengameran), geometri (vector), trigonometri (fungsi trigonometri) dan
statistik (pilih atur dan gabungan, kebarangkalian dan taburan kebarangkalian).
Tajuk bidang elektif bagi sains dan teknologi adalah gerakan pada garis lurus manakala bagi sains sosial pula mereka
mempelajari tajuk linear programming.
Bidang Pembelajaran menggariskan skop
pengetahuan, kebolehan dan sikap matematik yang akan dibentuk dan dikembangkan
dalam diri pelajar semasa mempelajari subjek tersebut. Semuanya dikembangkan
mengikut objektif pembelajaran yang sesuai, cadangan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran, hasil pembelajaran dan catatan. Objektif Pembelajaran mentakrifkan dengan jelas tentang subtopik
yang patut diajar. Objektif pembelajaran merangkumi semua aspek program
kurikulum Matematik dan dikemukakan dalam urutan perkembangan yang direka untuk
menyokong kefahaman murid mengenai konsep dan kemahiran matematik. Cadangan aktiviti pengajaran dan pembelajaran
pula menyenaraikan beberapa contoh aktiviti pengajaran dan
pembelajaran termasuk kaedah, teknik, strategi dan sumber berkaitan konsep dan
kemahiran tertentu. Perlu diingatkan terdapat banyak lagi pendekatan yang boleh
digunakan di bilik darjah.
Guru digalakkan untuk mencari contoh-contoh lain, menentukan
strategi pengajaran dan pembelajaran yang paling sesuai untuk murid mereka dan
menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran yang sewajarnya. Guru juga harus
membuat rujuk silang dengan sumber lain seperti buku teks dan Internet. Hasil
pembelajaran mentakrif secara spesifik berkaitan perkara yang
murid patut boleh buat. Hasil pembelajaran juga menetapkan pengetahuan, kemahiran
atau proses matematik dan nilai yang patut dipupuk dan dikembangkan pada aras
yang sesuai. Objektif tingkah laku ini boleh diukur dalam semua aspek. Dalam lajur catatan, perhatian ditarik kepada
aspek konsep dan kemahiran matematik yang perlu diberi perhatian. Penekanan ini
perlu diambil kira bagi memastikan konsep dan kemahiran berkenaan diajar dan
dipelajari secara berkesan seperti yang diharapkan.
Proses
pembelajaran diteruskan di peringkat STPM, Matrikulasi dan Universiti bagi
membolehkan murid meneruskan proses meningkatkan ilmu matematik agar dapat
digunakan bagi menyelesaikan masalah yang merangkumi isu global. Stuktur
pendidikan Matematik di Malaysia telah dirangka dengan sistematik bermula dari
peringkat asas pendidikan kepada peringkat yang lebih menjurus kepada
penyelesaian masalah yang lebih kompleks.
No comments:
Post a Comment